PETALING JAYA – Spekulasi perkahwinan penyanyi dan juga pelakon Elizabeth Tan tiba-tiba tercetus berikutan tular beberapa keping foto majlis perkahwinannya dalam laman sosial.
Lebih menguatkan keyakinan khalayak, beberapa keping foto majlis perkahwinan selebriti itu dikongsikan sendiri oleh seorang pengguna Facebook bernama David Tan Suan Chew yang difahamkan bapa kepada Elizabeth Tan.
Menerusi foto yang dikongsikan itu, kelihatan Elizabeth Tan, 28, atau lebih mesra disapa Lizzy bersama seorang lelaki dipercayai suaminya dengan berlatar belakangkan hiasan bunga-bungaan seperti pelamin.
Bahkan, penyanyi yang popular menerusi lagu Knock Knock itu juga dilihat memakai busana pengantin rona putih sambil memegang tangan dan tersenyum ke arah lelaki di depannya.
Pada gambar tersebut, turut disertakan nama akaun Instagram Lizzy iaitu @elizabethtan dan @siewjim yang difahamkan, nama suaminya.
Selain itu, terdapat juga sekeping foto menunjukkan Lizzy bersama suaminya sedang menandatangani sesuatu dipercayai dokumen perkahwinan sambil disaksikan beberapa anggota keluarga.
Bagaimanapun, sehingga kini belum dapat dipastikan sama ada benar Lizzy telah pun menamatkan zaman bujangnya.
Usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan maklumat daripada pihak pengurusan artis tersebut masih belum berbalas. – K! ONLINE