BRUSSELS, Belgium – Sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) yang dijadualkan pada hari Khamis dan Jumaat ini di Brussels, Belgium tidak akan diadakan secara langsung berikutan gelombang koronavirus ketiga yang semakin meningkat di Eropah, lapor agensi berita AFP, hari ini.
“Ketua Majlis Eropah, Charles Michel membuat keputusan ini berikutan lonjakan kes Covid-19 di negara-negara anggota EU,” kata jurucakapnya, Barend Leyts.
Pertemuan yang dijadualkan membahas beberapa topik sensitif termasuk hubungan yang merosot dengan Rusia serta Turki dan juga strategi tindak balas EU dalam mengekang wabak Covid-19 yang kelihatan sedikit longgar.
Diplomat EU mengatakan bahawa para pemimpin Eropah pada minggu lalu mendesak Michel untuk membatalkan perhimpunan bersemuka walaupun beliau berharap dapat memperketat langkah-langkah kebersihan untuk mengelakkan kembali ke persidangan menerusi video.
Para pemimpin hanya bertemu secara bersemuka beberapa kali sejak pandemik bermula termasuk persidangan empat hari berturut-turut pada Julai tahun lalu untuk menyetujui rancangan pemulihan EU bernilai €750 bilion (RM 3.7 trilion).
Anggota diplomat mengadu topik-topik yang memerlukan diplomasi yang diperhalusi tidak boleh ditangani dengan betul dalam pertemuan menerusi penstriman langsung video.
Mesyuarat pemimpin EU yang dijadualkan seterusnya adalah di Porto, Portugal pada 8 Mei akan datang. – AFP