fbpx

Empat bulan Parlimen tidak bersidang, pentadbiran negara tetap lancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Takiyuddin Hassan (kiri) bersama Mustapa Mohamed (tengah) dan Ahmad Yakob pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini. - Foto : ROHANA MOHD. NAWI.

KOTA BHARU – Pentadbiran negara tetap berjalan lancar meskipun sudah hampir empat bulan Parlimen tidak bersidang susulan pelaksanaan Ordinan Darurat di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini, tidak timbul sebarang masalah dalam aspek perjalanan kerajaan di negara ini.

“Kali terakhir Parlimen bersidang pada Disember lalu iaitu ketika Belanjawan 2021 diluluskan. Sekarang sudah bulan Mac dan sudah masuk empat bulan Parlimen tidak bersidang.

“Ketika darurat tahun 1969, Parlimen tidak bersidang selama dua tahun. Ia tidak menjadi masalah kepada perjalanan kerajaan sewaktu itu,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Takiyuddin berkata demikian selepas diminta untuk mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa supaya Parlimen bersidang dengan alasan bahawa wabak Covid-19 semakin reda di negara ini.

Menurutnya yang juga merupakan Setiausaha Agung Pas, Parlimen akan bersidang seperti biasa selepas Ordinan Darurat tamat dan mengikut tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI