JAKARTA – Harga cili merah yang melambung tinggi di Indonesia mendorong sesetengah peniaga mengecat cili hijau dengan warna merah untuk mengaburi mata pelanggan bagi mengaut keuntungan mudah, lapor Suara.com kelmarin.
Menerusi sebuah klip video berdurasi 54 saat yang dimuat naik dalam akaun Instagram @bwi24jam kelmarin, pemilik akaun tersebut mendedahkan kewujudan cili merah palsu di sebuah premis di kota Banyuwangi, Jawa Timur.
Video tersebut disertakan kenyataan bertulis ‘hati-hati ya semua, periksa dahulu cilinya’.
Video asal dipercayai milik seorang lelaki yang merayu orang ramai supaya berwaspada apabila membeli cili merah .
Dalam video itu juga dapat dilihat warna cili itu luntur selepas dimasak, menandakan ia palsu.
Seorang pengguna Instagram yang marah meminta siperakam melaporkan perkara itu kepada pihak polis supaya dapat menangkap peniaga tersebut.
Video tersebut mencatat lebih 7,000 tontonan setakat ini. – Agensi