JOHOR BAHRU – Program gotong-royong Sayangi Sungai Kim Kim bersempena sambutan Hari Air Sedunia, hari ini dikejutkan dengan penemuan beberapa tong biru yang dibuang berhampiran sungai tersebut.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad melihat sendiri penemuan tong biru itu ketika menyusuri denai sungai sepanjang dua kilometer itu.
“Saya dapat lihat dengan mata kepala saya sendiri bahawa terdapat pembuangan yang tentunya menjejaskan kualiti air Sungai Kim Kim.
“Pembuangan ini bukan hanya melibatkan bahan-bahan solid tetapi air yang mengalir masuk ke sungai itu juga datang daripada pelbagai sumber turut menyumbang kepada pencemaran,” katanya selepas menghadiri program gotong-royong Sayangi Sungai Kim Kim bersempena sambutan Hari Air Sedunia, hari ini.
Mengulas lanjut, Hasni memberitahu, aktiviti pencemaran itu menyebabkan pihak kerajaan perlu membentuk satu jawatankuasa bertindak sebagai satu kaedah kawalan.
Jelasnya, usaha kerajaan Pusat menerusi Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) ini adalah sebagai langkah untuk menjadikan kawasan sepanjang Sungai Kim Kim ini sebagai kawasan terjaga dan terkawal.
Katanya, menerusi program tersebut, kawasan rizab sungai terancam di negeri ini yang akan dibangunkan menjadi riadah dan tumpuan masyarakat setempat-K! ONLINE