fbpx

Tidak layak buat tuntutan Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemeriksaan lesen memandu antara yang dilakukan anggota JPJ di sekatan jalan raya. - GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Individu tidak mempunyai lesen memandu tidak layak menuntut sebarang faedah insurans daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika terlibat dalam kemalangan.

Pakar Keselamatan Jalan Raya, Prof Madya Dr. Law Teik Hua berkata, perkara itu bukan sahaja merugikan diri sendiri, malah ia akan turut membebankan ahli keluarga.

Katanya, isu menunggang atau memandu kenderaan tanpa lesen yang sah tidak harus dipandang remeh kerana ke­sannya sangat besar.

“Ramai tidak peduli sama ada mereka mempunyai lesen atau tidak semasa memandu. Antara alasan popular, hantar anak ke sekolah tak perlu lesen atau tak salah selagi tidak ditahan pihak berkuasa.

“Stigma seperti ini perlu dihapuskan dalam diri setiap pemandu di negara ini, kerana jika anda seorang ahli Perkeso, anda tidak berhak menuntut sebarang faedah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia menambah, individu yang tidak memiliki lesen memandu me­risikokan pengguna lain.

Menurutnya, mereka yang tidak memiliki lesen tidak mempunyai kemahiran untuk mengendalikan sebarang ken­deraan dengan cekap.

Jelas beliau, selain menyusahkan diri sendiri, ia turut menyusahkan pengguna jalan raya yang mempunyai lesen terutamanya jika berlaku kemalangan.

“Sebagai contoh, jika anda dilanggar oleh pemandu tiada lesen dan cukai jalan sudah tamat tempoh, anda tidak layak untuk menuntut insurans daripada si pelanggar itu.

“Jadi anda (mangsa) terpaksalah menuntut insurans kenderaan sendiri jika tidak mahu membawa kes itu ke mahkamah,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi Pakar Keselamatan Jalan Raya, Prof. Dr. M. Khulanthayan berkata, penguatkuasaan sahaja tidak cukup untuk mengatasi isu ini jika tiada kerjasama daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, kesedaran terhadap bahaya menggunakan kenderaan tanpa lesen perlu bermula dari rumah, komuniti sehinggalah kepada kerajaan.

“Jika kita lihat sekarang, ‘trend’ pelajar sekolah keba­nyakan bawah umur menunggang motosikal ke sekolah amat membimbangkan. Ramai ibu bapa mengambil remeh isu ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI