LONDON – Pelumba Mexico, Sergio Perez enggan mensia-siakan peluang terbaiknya dan berjanji akan membalas kepercayaan untuk menampilkan aksi cemerlang bersama pasukan Red Bull Racing (RBR) selepas musim lalu dia hampir kehilangan tempat dalam perlumbaan Formula Satu (F1).
Pelumba berusia 31 tahun tersebut tiada pilihan apabila terlepas dua perlumbaan akibat dijangkiti wabak Covid-19 dan lebih merisaukan ketika itu dia kehilangan tempat bersama Racing Point yang ketika ini dikenali Aston Martin selepas pasukan itu membawa masuk juara dunia empat kali, Sebastian Vettel.
Bagaimanapun, Perez yang masih segar dengan kejuaraan Grand Prix (GP) Sakhir hujung tahun lalu terselamat apabila dipilih untuk menggantikan pelumba muda, Alex Albon yang menjadi pelumba simpanan pasukan.
Pelumba berusia 30 tahun itu bakal menjadi pemandu ‘No. 2’ buat pasukan yang berpangkalan di Milton Keynes, England dan akan berganding bersama, Max Verstappen.
“Saya tahu ketika mendapat tawaran menyertai pasukan Red Bull ia adalah peluang yang datang sekali dalam hidup. Jadi, saya mahu memanfaatkan peluang ini sepenuhnya dan pastinya saya dahagakan kemenangan.
“Saya tidak menjangkakan akan menerima tawaran seperti ini dan seperti dalam mimpi. Ketika lihat nama saya terpampang pada jentera, barulah saya sedar ia adalah masa untuk bangkit dan tidak boleh saya lepaskan,” katanya.
Pada musim lalu, Perez menamatkan saingan di kedudukan keempat terbaik dan dijangka bakal melakukan kejutan bersama Verstappen musim ini selepas Red Bull tampil cemerlang pada sesi ujian rasmi di Bahrain minggu lalu. – AGENSI