PERAK Phoenix memulakan saingan Netball Super League (NSL) 2021 dengan langkah kanan selepas mencatat kemenangan 47-38 ke atas Kedah Sunshine pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Ketajaman penyudah ketua pasukan yang juga goal shooter (GS) kebangsaan, Khairunnisa Nazri merupakan salah satu faktor kejayaan Perak berjaya meraih tiga mata dalam perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, Perak tidak berdepan laluan mudah kerana membenarkan Kedah bangkit memperagakan permainan yang lebih berkualiti apabila mengejar kedudukan dalam suku masa ketiga dan keempat permainan.
“Momentum kami sedikit menurun pada suku masa ketiga dan banyak melakukan kesilapan mudah. Namun, saya berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai shooter pasukan untuk menjaringkan gol.
“Kami akan tambah baik aksi selepas ini dan cuba kurang melakukan kesilapan mudah. Pada masa sama, kami perlu perbaiki komunikasi antara pemain,” kata Khairunnisa selepas tamat perlawanan semalam.
Pada aksi itu, Perak bermula garang dengan mendominasi aksi separuh masa pertama dengan keputusan 26-12 sebelum Kedah mengubah strategi dengan meletakkan Siti Aishah Abdul Halim beraksi di posisi GS.
Walaupun keputusan itu dilihat menuai hasil apabila Kedah berjaya merapatkan jurang kedudukan 26-35 pada suku masa ketiga, namun ia masih belum cukup untuk mengejar Perak yang ternyata lebih unggul terutama prestasi cemerlang Khairunnisa.
Sementara itu, kapten Kedah, Noor Masldyia Mashhor menganggap permukaan lantai gelanggang yang licin menjejaskan rentak permainan mereka sekali gus gagal mengekalkan tempo permainan pantas untuk aksi tersebut.