MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester City, Oleksandr Zinchenko mengakui bahawa para pemain pasukan itu berada dalam motivasi paling tinggi untuk menjulang trofi musim ini.
Menurutnya, suasana di bilik persalinan membuktikan bahawa dia dan rakan sepasukan yang lain cukup ghairah dan bersedia untuk turun memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan bagi memastikan misi dalam setiap kejohanan disertai berakhir dengan kejuaraan.
“Dalam bilik persalinan, saya dapat lihat mata semua pemain begitu dahagakan kemenangan, mereka tidak sabar menjulang gelaran.
“Ini adalah apa yang kami mahu. Dua bulan sebelum musim ini berakhir adalah saat yang paling penting buat kami.
“Dengan beberapa pemain legenda seperti Sergio Aguero dan Fernandinho yang sudah berada di sini sejak 10 tahun lalu, mereka layak untuk menikmati saat ini. Kami akan mencubanya.
“Seperti yang saya selalu katakan, kami masih berada dalam semua pertandingan musim ini dan cuba untuk memenangi kesemuanya. Ia bermakna kami perlu mempamerkan aksi terbaik dalam setiap aksi.
“Sudah tentu ia bukan suatu yang mustahil. Kami mempunyai pasukan yang sangat menakjubkan dan pemain-pemain terbaik di dunia,” katanya.
City kini sedang membuat persiapan untuk turun menentang Everton di Goodison Park pada aksi suku akhir Piala FA awal pagi esok.
Mereka juga telah berjaya mara ke pentas perlawanan akhir Piala Liga Inggeris bertemu Tottenham Hotspur dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selain menguasai carta Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 14 mata berbanding jiran mereka, Manchester United. – AGENSI