DOHA – Pelumba Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia mengakui sudah bersiap sedia 100 peratus untuk memulakan aksi pertama Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang membuka tirai secara rasmi pada 28 Mac ini di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.
Pada sesi ujian selama lima hari minggu lalu, Ducati antara pasukan yang paling menyerlah terutama pelumba utamanya, Jack Miller selepas merekodkan masa terpantas, namun Pecco juga tidak kurang hebatnya apabila menduduki tangga kelima.
Bagaimanapun, Bagnaia menegaskan dia perlu menguasai barisan hadapan sekiranya mahu memberi tentangan untuk podium pada aksi pembukaan tersebut.
“Setiap kali turun melakukan ujian saya dapat rasakan terdapat perubahan ketara pada jentera ini dan ia beroperasi sangat baik setiap kali pengubahsuaian dilakukan.
“Pasukan juga mendengar pendapat kita dan segera melakukan perubahan. Saya teruja bersama Ducati musim ini serta tidak sabar untuk memulakan aksi pertama di Qatar.
“Misi pertama adalah saya ingin memulakan saingan di barisan hadapan kerana ia akan memberi kelebihan kepada saya untuk melakukan pecutan awal,” kata yang menyertai Pramac Ducati musim lalu.
Pecco turut mengakui terdapat beberapa sektor di litar yang perlu diperbaiki persembahannya agar tidak ketinggalan berbanding pelumba lain untuk mendapatkan catatan terbaik pada sesi kelayakan nanti.
“Saya telah menjalani sesi latihan simulasi di litar ini dan terdapat beberapa peningkatan yang perlu dilakukan. Secara keseluruhan ia positif dan saya mampu perbaiki rekod terbaik di Losail nanti,” tambahnya. – AGENSI