KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan Venom membuka akaun mereka dalam saingan Kumpulan B Netball Super League (NSL) dengan tiga mata selepas menewaskan Pahang Tulips 44-39 di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.
Dalam aksi itu, kedua-dua pasukan dilihat masih tercari-cari rentak sebenar, namun Negeri Sembilan lebih agresif melakukan serangan dan bertahan dengan baik sepanjang 15 minit pertama.
Kemasukan Nur Nafisah Feizal menggantikan goalshooter utama, Nurrul Aziera Mohd. Ramli yang mengalami kecederaan, berjaya menghasilkan jaringan demi jaringan buat Negeri Sembilan untuk menamatkan suku masa kedua dengan keputusan 21-14.
Bersambung di suku masa ketiga, giliran Pahang pula yang bertali arus melancarkan serangan dengan menghantar banyak bola berbahaya ke kawasan D Negeri Sembilan untuk menghidupkan semula peluang mereka dalam aksi tersebut.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Hapizah Jaafar itu menerima tamparan hebat apabila goalshooter dengan ketinggian 180 sentimer, Nur Amalina Ahad tidak dapat meneruskan perlawanan kerana mengalami kecederaan sehingga terpaksa diusung keluar.
Ketiadaan Amalina, 23, secara tidak langsung menjejaskan rentak Pahang yang masih gagal mendahului Negeri Sembilan apabila ketinggalan 26-35 pada suku masa ketiga.
Aksi 15 minit terakhir menjadi lebih rancak dan sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan sehingga pengadil meniup wisel tamat berkesudahan Negeri Sembilan menang 44-38.
Ia pastinya kemenangan yang cukup bermakna buat Negeri Sembilan yang akan bertemu salah satu pasukan pilihan, Johor Jewels untuk aksi kedua Kumpulan B petang esok.
Sebaliknya, tugas Pahang lebih sukar kerana turut dijadualkan bertemu satu lagi gergasi bola jaring kebangsaan daripada Kumpulan B, Selangor Angels malam esok. – K! ONLINE