NEW DELHI – Seorang pemandu lori di negeri Odisha, timur India disaman sebanyak 1,000 rupee (RM56.64) kerana kesalahan tidak memakai topi keledar semasa memandu lorinya , lapor portal berita News 18 kelmarin.
Pramod Kumar Swain dari daerah Ganjam sebelum itu mengunjungi pejabat pengangkutan tempatan untuk memperbaharui permit lorinya.
Namun, dia dimaklumkan bahawa kenderaan yang dipandunya mempunyai saman tertunggak atas kesalahan memandu tanpa memakai topi keledar.
Berdasarkan laporan media tempatan, Pramod cuba mendapatkan penjelasan pegawai bertugas, namun tidak mendapat jawapan yang rasional dan dia terpaksa membayar saman itu sebelum permit lorinya boleh diperbaharui.
Menurut Pramod, dia memandu lori sejak tiga tahun lalu dan terlibat dalam perkhidmatan pembekalan air.
Dia kesal kerana pegawai jabatan berkenaan tidak dapat memberi penjelasan munasabah sehingga menyebabkan gangguan kepada orang awam dan mengutip wang rakyat dengan cara yang salah.
“Kerajaan perlu bertindak untuk mengelakkan kesilapan tersebut berulang,” katanya.
Ini bukan kali pertama insiden seumpamanya berlaku.
Tahun lalu, polis di negeri Uttar Pradesh pernah mengeluarkan saman kepada seorang lelaki yang memandu kereta tanpa memakai topi keledar.
Seorang lelaki lain dari bandar Aligarh juga di negeri Uttar Pradesh, disaman 500 rupee (RM28.35) kerana tidak memakai topi keledar semasa memandu kereta pada Ogos 2019.
Lelaki itu, Piyush Varshney dilaporkan mula memakai topi keledar ketika memandu sebagai tanda protes. – Agensi