GEORGE TOWN – Laporan palsu membabitkan kejadian samun bagi mengelak dikenakan denda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disebabkan kehilangan atau keciciran kad pengenalan antara alasan ‘trending’ pengadu kepada polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan polis mendapati 80 peratus alasan yang diberi pengadu adalah berkaitan bimbang dengan tindakan yang bakal dikenakan selain takut dimarahi ibu bapa atau saudara.
Selain itu, menurutnya, laporan berkaitan kejadian samun palsu juga dibuat atas alasan bimbang dengan majikan setelah pengadu menggunakan wang yang diamanahkan bagi tujuan lain.
“Setakat Februari tahun ini, sebanyak 24 kes samun yang berlaku di tepi jalan dan kejadian ragut melibatkan wang tunai, barang berharga serta dokumen penting dilaporkan di Daerah Timur Laut.
“Hasil siasatan lanjut, sebanyak 15 laporan polis telah disahkan palsu iaitu kejadian samun yang dilaporkan hanyalah rekaan semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Berbanding tahun lalu, sebanyak 16 laporan palsu telah dikesan daripada 27 kes melibatkan kejadian samun di daerah berkenaan.
Justeru, Soffian menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang laporan polis yang tidak benar atau palsu bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan tersebut, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duannya. – K! ONLINE