JUARA CP150 musim lalu, Helmi Azman mengakui dia tidak bimbang dengan kehadiran semula Kasma Daniel Kasmayudin dalam perebutan gelaran Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim ini.
Helmi yang kekal mengemudi SCK Honda Racing musim ini mengakui sudah melakukan persiapan terbaik untuk mengulangi pencapaian terbaik pada aksi pertama Cub Prix di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) pada hujung minggu ini.
Kepulangan bekas pelumba Moto2 musim lalu itu ke kancah Cub Prix sememangnya menarik perhatian apabila pelumba muda berbakat negara itu pernah bergelar juara selama tiga tahun berturut-turut dalam kategori berbeza.
“Saya telah melakukan persiapan terbaik dan tidak sabar untuk beraksi semula. Tahun ini terdapat pelbagai kejutan dan pasti saingan sengit.
“Meskipun tercabar dengan kehadiran Kasma tetapi saya juga gembira kerana dia merupakan pencabar kategori ini.
“Tetapi perlu diingat, perlumbaan Cub Prix berbeza kerana semua pelumba mampu melakukan kejutan terutama di Sepang. Jadi bukan Kasma sahaja, saya perlu beri perhatian kepada semua pelumba yang mengambil bahagian.
Selain Helmi, SCK turut mempertaruhkan pelumba berbakat lain seperti Izam Ikmal Izamli dan membawa masuk pelumba baharu, Azhar Abd. Jalil bersama riduntuk memberi tentangan dalam perebutan gelaran CP150.