fbpx

Cik Embun ‘hidupkan’ semula Lana Nodin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAGAI pelakon, Lana akui watak antagonis sudah sebati dalam jiwanya. Dia bahkan tidak canggung membawakan sebarang watak beremosi jahat.

EMPAT tahun sudah cukup buat pelakon yang popular dengan jolokan Pamela Anderson Malaysia ini hilang daripada radar dunia seni tempatan.

Bukan kerana merajuk, jauh sekali mengundurkan diri atas alasan bersara kerana telah puas bergelar anak seni sejak tahun 2005, namun Lana Nodin ada alasan kukuh.

Bagi Lana keputusan berehat seketika daripada aktif dengan lakonan dibuat kerana mahu memberikan tumpuan terhadap suami. Jika dahulu sekadar menyulam kasih bersama lelaki warga asing itu, kini Lana sudah berempat bersama dua orang anaknya.

EMPAT tahun berehat, Lana kembali mengaktifkan diri dalam bidang lakonan menerusi drama Aku Yang Kau Gelar Isteri.

Sebenarnya, itu alasan yang agak klise bagi mana-mana artis wanita. Buat Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin, 41, itulah alasan kukuh saat disoal tentang tempoh vakumnya selama ini.

“Selepas berkahwin saya berulang-alik dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) mengikut suami kerana dia atlet bola tampar, selain faktor kesihatan anak kedua yang tidak mengizinkan,” ujarnya.

Antagonis

Cuma baru-baru ini sahaja, nama Lana kembali diperkatakan selepas membuat kemunculan dalam drama berjudul Aku Yang Kau Gelar Isteri dengan watak antagonis bernama Cik Embun.

Ujar Lana, drama tersebut merupakan drama bersiri pertama lakonannya selepas puas berehat selama empat tahun.

Ternyata ‘kepulangannya’ ke skrin televisyen tidak sia-sia. Rata-rata khalayak menyukai watak yang dibawakannya walaupun tersemat rasa geram dan marah terhadap Cik Embun.

WATAK Cik Embun iaitu seorang bomoh dalam AKu Yang Kau Gelar Isteri membuatkan nama Lana kembali menjadi bualan peminat.

Biarpun bukan pemegang watak utama, Lana gembira kerana berjaya membuatkan penonton ‘melekat’ untuk menonton lakonannya selepas sekian lama tidak beraksi di hadapan kamera.

“Watak Cik Embun ini kembali menghidupkan semula nama saya untuk kembali popular.

“Selepas ditawarkan oleh pengarah, Shuhaimi Lua Abdullah untuk berlakon karya arahannya, saya tidak teragak-agak menerima tawaran tersebut.

“Pertama, sebab saya tidak pernah membawakan watak bomoh. Jadi saya telah mengkaji watak tersebut supaya tidak nampak klise,” katanya.

Ujar bekas pramugari itu lagi, suaminya, David McKienzie atau nama Islamnya Mohd. Daud McKienzie, 42, menjadi orang yang paling teruja apabila isterinya kembali berlakon.

SEBAGAI pelakon, Lana akui watak antagonis sudah sebati dalam jiwanya. Dia bahkan tidak canggung membawakan sebarang watak beremosi jahat.

“Suami sama-sama tolong saya mendalami watak. Malah dia banyak membantu saya memberikan idea untuk menjadikan Cik Embun kelihatan ‘hidup’.

“Dia sendiri pun percaya tentang kewujudan ilmu hitam dan sihir sebab pernah melihat sendiri perkara tersebut,” ujar Lana teruja.

Mengenali corak lakonan wanita kelahiran Sarawak itu, watak antagonis memang tidak dapat dipisahkan dengan dirinya.

Barangkali juga, wajahnya sudah dilabelkan produser dan pengarah, hanya layak membawakan watak wanita jahat, kejam, pemarah dan sombong.

Namun bagi Lana, dia sememangnya gemar memegang watak antagonis kerana menganggap watak sebegitulah yang sebenarnya menghidupkan jalan cerita.

“Saya rasa bosan kalau diberikan watak baik. Selalunya watak jahat orang akan ingat berbanding watak baik. Netizen pun sebenarnya suka kewujudan karakter antagonis dalam sesebuah cerita,” kata ibu kepada Gia Quinn Mckienzie, 3, dan William Daud McKinzie, 2, itu.

Teguran

Pengalaman 16 tahun dalam industri memberikan satu pandangan peribadi tentang kemunculan pelakon baharu masa kini. Baginya, ada segelintir pendatang baharu hanya mengejar watak heroin dan enggan menjayakan watak buruk atau hitam di mata masyarakat.

Akui Lana, sepanjang bergelar pelakon, dia sendiri tidak pernah membawakan watak perempuan lembut, ayu dan baik. Tetapi jika diminta, dia tidak mempunyai masalah untuk mencuba. Sebagai pelakon, dia perlu mencuba kepelbagaian watak.

LANA lebih rela ‘dibenci’ kerana watak jahat kerana menyifatkan watak sebegitu mudah membekas dalam jiwa penonton.

“Cuma kebanyakan pengarah dan produser sudah ada tanam dalam minda tentang pelakon yang difikirkan sesuai membawakan sesuatu watak. Di mata mereka, saya mungkin hanya sesuai membawakan watak perempuan jahat,” jelasnya.

Sempat berkongsikan pandangan, Lana agak lantang menegur sikap segelintir pelakon baharu yang dilihat bersikap sambil lewa dan ‘main-main’ ketika berada di set penggambaran.

Sudah namanya pelakon, seseorang itu harus faham karakter yang diberikan kepadanya. Mereka harus mendalami dan mengkaji karakter diberikan.

“Pernah dengar saya dilabel pelakon ‘kayu’? Terus terang, saya rasa artis baharu hari ini tidak memberikan komitmen 100 peratus terhadap kerja mereka.

“Untuk artis baharu yang diberi peluang memegang watak besar, tetapi tidak perform (buat persembahan penuh emosi), itu sangat rugi!,” kata Lana.

LANA melihat kehadiran segelintir pelakon baharu kini menjadikan dunia lakonan sebagai ‘bidan terjun’. Ada sebilangan mereka bergelar pelakon bukan atas dasar minat sebaliknya populariti.

Secara peribadi, Lana agak kecewa apabila melihat tahap lakonan segelintir pelakon baharu hari ini. Tidak berniat untuk tunjuk hebat, tetapi Lana mendakwa dia nampak kebanyakan artis baharu mensia-siakan peluang yang diberikan.

“Senang cakap mereka berlakon ala kadar,” jelas pelakon filem Chow Kit itu.

Sebagai pelakon senior, Lana tidak tidak teragak-agak untuk berterus terang dengan niat untuk menegur artis-artis baharu jika dilihat tidak bersedia ketika masuk ke set penggambaran.

Keluarga

Menyentuh tentang kehidupan peribadi, sudah lebih setahun sebenarnya Lana dan keluarganya tidak dapat pulang ke tanah kelahiran suami di AS.

Ujar Lana, mujurlah suaminya lebih gemar tinggal di Malaysia, tambahan pula kata Lana, David serasi dengan apa sahaja makanan tempatan.

Cuma sesekali, suaminya mengeluh kerana tidak dapat turun padang menjalani latihan bola tampar.

DUA tahun tidak dapat pulang ke tanah air suaminya, namun Lana bersyukur kerana lelaki itu mudah sebati menjalani kehidupan di negara ini.

“Sebelum ini David ada juga turun berlatih kerana menjadi tenaga pengajar pasukan bola tampar Singapura, tetapi disebabkan Covid-19, sudah lebih setahun dia tidak ke sana,” tutur Lana.

Selepas enam tahun berkahwin, Lana juga bersyukur kerana suaminya terus menunjukkan minat dan tidak jemu-jemu mendalami soal agama.

“Sebagai orang Islam, saya bertanggungjawab untuk membimbing suami walaupun mengakui sukar untuk seorang wanita menjadi pemimpin keluarga.

“Suami jenis yang suka belajar. Solat pun dia tidak pernah tinggal. Malah dia sendiri yang akan kejut saya untuk bangun solat subuh,” kata Lana yang bakal membuka kilang membekalkan bahan membuat kek sekitar April nanti.

Membiarkan skeptikal yang mungkin masih berlegar di mata umum, Lana sedar penampilannya masih seksi. Namun, sekurang-kurangnya dia tidak hanyut walaupun bersuamikan lelaki ‘mat salih’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI