BALIK PULAU – Seramai 13 penduduk Kampung Jalan Bharu di sini buntu mengenangkan nasib yang bakal dihadapi setelah diarah keluar oleh pemilik tanah dari kediaman yang dibina mereka di kawasan tersebut selama ini.
Rata-rata pemilik kediaman yang dibina sejak lebih 100 tahun lalu itu berkumpul secara aman petang semalam bagi merayu simpati pihak kerajaan dalam membantu mempertahankan kawasan perkampungan tersebut.
Mereka terdiri warga emas, pesara kerajaan, peniaga kecil, suri rumah, ibu tunggal dan pasangan yang mempunyai anak orang kelainan upaya (OKU).
Masing-masing melaungkan ‘selamatkan kampung tradisi kami’, ‘kami berjuang bukan untuk diri sendiri tetapi mempertahankan kampung tradisi’ dan ‘kampung tradisi adalah kebudayaan kami’.
Difahamkan sebelum ini, tanah seluas 1.2 hektar berkenaan asalnya dimiliki satu pasangan suami isteri warga Indonesia. Mereka yang berasal dari Jawa itu dikatakan telah pulang ke negara asal dan memajak tanah itu kepada seorang lelaki berketurunan Cina. Sebelum ini, waris asal penduduk di sini membina penempatan tanpa ada perjanjian hitam putih dengan pemilik tanah, hanya ‘berjanji mulut’.
Seorang penduduk, Faridah Omar, 58, berkata, dia semakin dibelenggu ketakutan setiap kali melihat kelibat individu berpakaian kemas atau kemeja berdiri di luar pekarangan rumahnya.
Menurutnya, dia bersama adik lelakinya menetap di rumah pusaka peninggalan arwah bapanya sejak lahir dan kediaman kayu itu menyimpan pelbagai kenangan menarik bersama adik-beradik yang lain.
“Rumah kayu ini dibina lebih 150 tahun lalu dan didiami oleh nenek sehinggalah diwarisi oleh arwah bapa saya yang meninggal dunia pada 2008 ketika dia berusia 85 tahun.
“Kami antara 13 penduduk kampung yang menerima notis pengusiran daripada pemilik tanah yang merupakan syarikat ubat sejak tahun 2018.
“Saya masih ingat lagi, surat tersebut diterima dua hari sebelum menyambut perayaan Aidilfitri. Perasaan gembira terus bertukar takut sehinggalah ke hari ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zakaria Yahaya, 65, pula memberitahu, dia sememangnya tidak pernah terfikir untuk berdepan pengusiran terbabit dalam hidupnya.
“Selama 65 tahun saya tinggal di rumah pusaka milik arwah bapa dan langsung tidak pernah terlintas untuk keluar atau tinggalkan kediaman ini,” jelas bapa kepada tiga cahaya mata termasuk seorang anak orang kelainan upaya (OKU) berusia 30 tahun itu.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili penduduk terbabit, Senator Yusmadi Yusoff memberitahu, keputusan kes tersebut telah ditetapkan pada 30 Mac ini di Mahkamah Majistret Balik Pulau.