KUALA NERUS – Seramai 21,791 anggota tentera sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebanyakan anggota tentera yang menerima vaksin berkenaan terdiri daripada mereka yang terlibat dalam kawalan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara.
“Keutamaan juga diberikan kepada anggota yang terlibat dengan Ops. Benteng dan mereka yang akan menyertai misi keamanan di luar negara,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di Kem Batalion 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir di sini hari ini.
Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu
sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk menaiktmaraf kemudahan di Kem Batalion 18 RAMD berkenaan.
Beliau berkata, peruntukan itu meliputi pembinaan poliklinik, masjid, dewan dan unit kediaman anggota di kem berkenaan.
“Masjid baharu dijangka siap pada November tahun depan manakala poliklinik yang dilengkapi jabatan kecemasan, bilik x-ray dan makmal pula bakal beroperasi pada Januari 2023.
“Sebanyak 48 unit kediaman anggota sedang dinaik taraf kepada tiga bilik berbanding dua bilik sebelum ini,” katanya.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertahanan juga akan mengusulkan peruntukan RM11 juta lagi untuk membina tambahan 196 unit kediaman anggota selain dewan serbaguna bernilai RM1.5 juta di kem tentera itu pada pembentangan Bajet 2022. – K! ONLINE