PERSEORANGAN lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia mengulangi pencapaian tahun lalu apabila melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Seluruh England (All England).
Lebih mengejutkan, Zii Jia menyingkirkan pemain No.1 dunia dari Jepun, Kento Momota pada aksi suku akhir yang berlangsung sebentar tadi menerusi kemenangan 21-16, 21-19.
Keputusan itu sekali gus menebus kekecewaan yang dialami pemain No.10 dunia itu pada kejohanan-kejohanan sebelum ini termasuk Terbuka Switzerland dua minggu lalu.
Peluang Zii Jia untuk melangkah ke perlawanan akhir kini terbuka luas apabila dijadualkan bertemu pemain Belanda, Mark Caljouw di peringkat separuh akhir esok.
Sebagai rekod, pemain berusia 23 tahun itu mara ke separuh akhir pada edisi terdahulu sebelum tewas kepada pemain Denmark, Viktor Axelsen 21-17, 13-21, 19-21. K! ONLINE