fbpx

Pilih untuk jadi sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

LUCU membaca keluh-kesah warga maya perihal pertambahan berat badan mereka sejak pelaksanaan bekerja dari rumah yang dikuatkuasakan bermula awal tahun lalu.

Majoritinya memberitahu, mereka kurang bergerak, namun mulut pula tidak henti-henti mengunyah dengan alasan lapar. Ia menjadi antara faktor utama penyumbang kepada kenaikan berat badan.

Tidak kurang juga yang mendakwa, nafsu makan mereka membuak-buak berpunca daripada persekitaran kerja di rumah yang disifatkan sebagai kurang kondusif selain dibebani pelbagai tugas.

Jika sekadar satu kilogram mungkin boleh tutup mata. Tetapi apabila berkilo-kilo naik sehingga butang seluar pun tidak boleh dikancing, siapa yang tidak runsing.

Dalam diam, mereka sebenarnya sedang menempah pelbagai penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi dan hipertensi.

Begitupun sibuk dan tertekan, namun tidak sewajarnya ia dijadikan alasan kerana masih belum terlewat untuk mereka mengubah tabiat gaya hidup dan corak pemakanan untuk kembali kepada bentuk tubuh asal.

Menurut Pensyarah Kanan Sains Sukan Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Muhammad Hafiz Ismail, konsep kesihatan dan kecergasan pada masa kini dilihat lebih dinamik dan sentiasa berubah mengikut gaya hidup serta keadaan semasa.

Menurutnya, menjaga kesihatan dan kecergasan diri merupakan satu pilihan dan bukannya kebetulan.

“Justeru, individu perlu memilih gaya hidup sihat dengan mengamalkan konsep kecergasan menyeluruh merangkumi aspek fizikal, rohani, emosi, intelektual dan sosial.

“Dalam kesibukan kerja seharian, kita perlu bijak melakukan aktiviti yang memberi manfaat kepada kesihatan dan kecergasan diri,” katanya.

Muhammad Hafiz berkata, setiap individu perlu ‘mencuri’ masa sekitar 20 hingga 30 minit sehari untuk melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu.

Ujarnya, aktiviti seperti bersenam, berbasikal, berlari dan berenang bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah dari aspek psikologi dan sosial.

Dalam pada itu, Pakar Dietetik Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Gan Yian Kee pula menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan amalan diet tetap dan pengambilan makanan sederhana mengikut waktu.

“Diet yang seimbang diperlukan untuk membekalkan nutrien dan tenaga yang diperlukan untuk menangani stres.

“Jangan melangkau mana-mana hidangan utama kerana boleh mengakibatkan keinginan untuk menjamu selera yang meluap-luap sehingga menyebabkan pengambilan makanan yang tinggi lemak, gula dan garam.

“Individu juga boleh rujuk kepada piramid makanan sebagai panduan bagi mengekalkan keseimbangan badan seterusnya menghindari tekanan,” ujarnya.

Pendek kata, ambillah langkah pencegahan awal bagi menge­lakkan tahap kesihatan semakin merosot kerana pilihan untuk sihat adalah terletak pada tangan ma­sing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI