BAKAT seni pemilik nama pentas Zazo Maulana ini terasuh sejak kecil.
Zazo Maulana atau nama sebenarnya Siti Zaleha Zolkeply berkata, dia sememangnya sudah diperkenalkan dengan muzik dan nyanyian sejak dibangku sekolah.
“Saya mula mendekati muzik sejak dari kecil lagi sebab selalu dibawa oleh arwah ibu menyertai pelbagai pertandingan nyanyian,” ujar wanita berusia 30 tahun itu.
Saat disapa tentang keunikan nama pentas yang digunakan, penyanyi bertubuh genit itu memberitahu, nama Zazo merupakan gabungan daripada namanya dan ayah, manakala Maulana pula ada nama arwah datuknya.
Selain memiliki bakat dalam bidang nyanyian, Zazo juga handal bermain alat muzik, terutamanya gitar.
Bahkan, ketika menuntut dalam jurusan Diploma Seni Halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka, Zazo menampung perbelanjaan sebagai pelajar dengan menjual bakat seni.
Menurutnya, ketika menyambung pelajaran, dia tidak memohon sebarang bantuan atau pinjaman kewangan bagi menampung yuran pengajian.
“Jurusan seni halus memerlukan kos yang besar. Jadi untuk menyara keperluan belajar ketika itu, saya banyak melakukan persembahan busking di jalanan sambil melukis.
“Dengan menyanyi dan bermain muzik di tepi-tepi jalan itulah, saya menyara kehidupan sebagai pelajar,” katanya.
Ketika ‘berkarya’ di pinggir jalan, Zazo hanya bergerak sendiri.
Ujar Zazo, selepas ibunya meninggal dunia, bapanya berasa sangat sedih. Kerana tidak mahu menyusahkan bapanya, maka Zazo perlu mencari alternatif dan berusaha sendiri bagi mencari duit poket.
Setiap kali ketika cuti semester, Zazo akan mengembara ke lokasi lain seperti ke Johor Bahru sehingga ke luar negara seperti Singapura dan Indonesia untuk bermain muzik di jalanan.
“Paling jauh saya pernah membuat persembahan busking ialah di Gold Coast, Australia.
“Di sana saya tidak boleh sesuka hati bermain muzik di pinggir-pinggir jalan.
“Seseorang itu perlu ada sekurang-kurangnya sebuah album. Tetapi saya bernasib baik kerana mempunyai kenalan di sana,” jelasnya.
Ketika membuat persembahan, Zazo berkata penonton sangat suka jika dia menyanyikan lagu-lagu berentak balada dan jazz diiringi petikan gitar.
Namun hakikatnya, jiwa wanita cantik itu lebih dekat dengan muzik bergenre blues dan rock. Sekitar tahun 2013, Zazo pernah diiktiraf sebagai penyanyi wanita solo pertama yang melakukan busking di Malaysia.
“Itu dahulu, sekarang saya pasti sudah ramai pemuzik wanita yang melakukan busking seorang diri,” katanya.
Selepas melepasi peringkat diploma, Zazo menyambung pengajiannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang vokal di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor pada tahun 2014.
Daripada situlah, dia memperkasakan lagi vokalnya dan banyak bergaul dengan nama-nama hebat di belakang tabir terutamanya dalam bidang muzik.
Hanya pada tahun 2020, Zazo akhirnya berpeluang untuk hadir dengan sebuah single berjudul Kasih Bermula, berkolaborasi bersama dengan penyanyi Tam Spider.
“Saya selalu lepak dengan Tam di studio. Suatu hari timbul idea untuk menghasilkan sebuah lagu bagi meraikan ulang tahun perkahwinan seorang kenalan kami.
“Tam mahu saya menyanyi solo. Tapi saya minta untuk menyanyi bersama kerana lagu itui ciptaannya,” kata Zazo.
Lagu Kasih Bermula berkisarkan pasangan bahagia yang mengimbau kembali kisah awal pertemuan mereka sehingga menimbulkan bibit-bibit cinta.
Perasaan cinta hadir tanpa diduga sehingga membuatkan hari mereka bersinar dan bahagia.
“Saya harap lagu ini mendapat tempat di hati peminat dan pihak media.
“Saya juga berharap peminat akan terus menyokong karya-karya daripada abang Tam Spider,” tutupnya.