fbpx

Penyokong boleh ke stadium 1 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SMAIL SABRI mendedahkan Liga M akan menjadi medan ujian untuk melihat keberkesanan pelaksanaan protokol serta SOP apabila penyokong dibenarkan hadir ke stadium mulai 1 April depan.

SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) musim 2021 kembali meriah selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi lampu hijau buat penyokong kembali ke stadium dengan kapasiti terhad bermula 1 April depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan itu dibuat hasil perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa lepas.

Kata Ismail, lampu hijau yang diberikan buat masa ini hanya buat saingan Liga M sebagai ujian bagi melihat pelaksanaan protokol serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebelum ia disusuli dengan kejohanan lain.

“Selepas meneliti pembenta­ngan yang dilakukan oleh KBS kepada MKN dan KKM, kami telah bersetuju untuk memberi kebenaran semula untuk penyokong hadir ke stadium bermula 1 April depan.

“Bagi negeri yang terlibat pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sebanyak 10 peratus atau 2,000 penyokong dibenarkan hadir pada setiap perlawanan.

“Sementara itu, bagi negeri PKP Pemulihan (PKPP), sebanyak 25 peratus atau 8,000 penyokong dibenarkan dengan syarat pemantauan dilakukan oleh pihak stadium dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Kebenaran ini diberikan kepada saingan Liga M terlebih dahulu untuk memastikan keberkesanan sama ada penyokong boleh mematuhi SOP terutama ketika masuk dan keluar sta­dium,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, keputusan itu bukan sahaja disambut baik oleh penyokong sebaliknya bakal menjadi suntikan semangat kepada kelab-kelab Liga M.

“Ini adalah satu petanda positif kepada semua penyokong terutama industri bola sepak sendiri di mana hanya kejohanan bola sepak sahaja dibenarkan penonton ke stadium.

“Bagaimanapun, MFL tetap memastikan gelembung sukan kekal terpelihara dan nasihat saya kepada penyokong, sama-sama kita mengekalkan pematuhan SOP dalam misi memutuskan rantaian pandemik Covid-19,” katanya

Buat masa ini, Sarawak, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor masih lagi diklasifikasikan sebagai wilayah PKPB.

Sementara itu, Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Kedah sudah mendapat status PKPP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN