Oleh KHAIRUL MOHD ALI
PASUKAN Selangor FC menunjukkan mentaliti kuat dan hebat pada perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam kelmarin selepas mengikat penyandang juara Liga Super itu dengan keputusan 1-1.
Ketua jurulatihnya, Karsten Neitzel berkata, anak-anak buahnya telah menunjukkan kualiti keseluruhan yang baik sepanjang 90 minit perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Jelasnya, perlawanan itu juga merupakan satu motivasi buat mereka untuk memberi persembahan lebih baik berbanding perlawanan terdahulu.
“Sepanjang 90 minit permainan, pemain menunjukkan mentaliti dan disiplin yang tinggi dan itu kunci untuk persembahan yang baik dan memang kami jangka dapat bersaing dengan JDT.
“Keputusan 1-1 ini tiada masalah, secara jujurnya kami juga bernasib baik dalam perlawanan ini, jadi keputusan itu saya terima, mereka sudah lakukan yang terbaik,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim selepas tamat perlawanan kelmarin.
Pada aksi tersebut, gol Selangor dijaringkan Ifedayo Olusegun pada minit ke-6 sebelum JDT berjaya menyamakan kedudukan hanya lima minit kemudian menerusi jaringan Bergsen Da Silva.
Pada masa sama, Neitzel mengingatkan kepada anak-anak buahnya supaya perlu mengekalkan mentaliti yang tinggi dalam menghadapi perlawanan seupama itu pada masa akan datang.
“Saya tidak gemar memuji mana-mana pemain kerana semua telah melakukan yang terbaik, namun saya harus akui penjaga gol, Khairulazhan Mohd. Khalid memberi persembahan cemerlang.
“Selain menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya, dia juga berjaya menyelamatkan satu sepakan penalti,” ujarnya.