PELUMBA pasukan Tuneboss-Pink Racing, Muhamad Harith Farhan Baharin tekad untuk menampilkan tunggangan terbaik pada kejuaraan Cub Prix Malaysia tahun ini.
Meskipun pasukan tersebut hadir dengan status pendatang baharu, namun pelumba kelahiran Terengganu itu percaya dengan kemampuan diri serta jenteranya.
Katanya, walaupun tidak memiliki banyak pengetahuan mengenai jentera Yamaha yang akan digunakan, namun Harith percaya dia boleh bersaing untuk mencari kedudukan podium dalam saingan CP125.
“Secara jujur, pengetahuan saya tentang jentera Yamaha memang kurang kerana sebelum ini banyak menggunakan jentera Honda. Ini adalah kali pertama saya akan menunggang Yamaha.
“Bagaimanapun, saya tidak akan mengalah untuk mencabar kedudukan podium dalam setiap perlumbaan. Jika ada rezeki, saya mahu bersaing merebut kejuaraan,” katanya yang pernah menjuarai kategori Wira pada 2015.
Sebagai rekod, Pink Racing mencipta sejarah permotoran negara apabila pemiliknya, Atikah Azwar menjadi wanita termuda pertama memiliki pasukan sendiri dalam Cub Prix.
Sementara itu, seorang lagi pelumba kategori CP125, Siti Norafizah Muhamad menjelaskan dia tidak meletakkan sasaran tinggi, sebaliknya mahu menempatkan diri dalam kelompok 10 teratas.
“Memandangkan ini adalah tahun pertama dalam CP125, saya tidak mahu letak sasaran terlalu tinggi. Saya harap dapat kutip mata serta tamatkan saingan musim ini dalam kelompok 10 teratas.
“Kalau diikutkan, pengalaman saya dalam arena perlumbaan agak banyak kerana pernah beraksi dalam kategori Pro-Am, Wira serta 150cc dua lejang,” ujarnya.