fbpx

Fasa pertama projek Gurney Wharf dijangka siap 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jagdeep (kanan) ketika melawat tapak projek Gurney Wharf di Persiaran Gurney di George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Fasa pertama projek taman rekreasi awam di atas laut, Gurney Wharf di Persiaran Gurney di sini yang bernilai RM176 juta dijangka siap pada suku pertama tahun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, kerja fizikal untuk projek Gurney Wharf itu dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Fasa pertama projek ini dijangka siap dan dibuka kepada orang awam pada tahun depan.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa fasa pertama projek Gurney Wharf juga berkonsepkan hijau sejajar dengan matlamat serta visi kerajaan negeri menjadikan negeri ini sebagai negeri hijau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Projek Gurney Wharf adalah taman awam di pinggir laut yang terletak di sebahagian tanah tambak seluas 53 hektar di luar Persiaran Gurney yang diserahkan kepada kerajaan negeri secara berperingkat sejak tahun lalu.

Kerja-kerja penambakan di sepanjang pantai Persiaran Gurney bermula pada tahun 2016 dan penambakan seluas 53 hektar itu selesai pada September 2019.

Kerja-kerja penambakan dilakukan berdasarkan perjanjian konsesi yang ditandatangani antara kerajaan negeri Pulau Pinang dan Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TPD), anak syarikat Eastern & Oriental Berhad.

Menurut beliau, hampir 20 hektar akan dijadikan taman awam yang lengkap dengan kemudahan termasuk kemudahan awam untuk orang kurang upaya.

“Fasa pertama projek taman ini akan merangkumi landskap, taman persiaran, taman permainan kanak-kanak dan kios yang menjual makanan ringan dan cenderamata malah kemudahan teksi air juga akan disediakan di sini namun ia masih di peringkat perancangan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, tujuan utama projek Gurney Wharf itu adalah untuk meningkatkan lagi status mercu tanda kawasan Persiaran Gurney. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI