fbpx

Datuk didakwa lupus, pindah dan terima wang hasil aktiviti haram lebih RM8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berpangkat Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan melupus, memindah dan menerima wang yang merupakan hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM8 juta tiga tahun lalu.

Datuk Ahmad Azwan Aboo Mansoor, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, tertuduh didakwa telah melupuskan wang berjumlah RM815,863.06 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun simpanan bank miliknya di Bank Islam Malaysia Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara April 2016 hingga April 2018.

Selain itu, tertuduh turut berdepan dengan lima pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM3,020,299.98 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun simpanan bank miliknya ke dalam satu lagi akaun banknya dan dua akaun bank masing-masing milik seorang lelaki dan sebuah syarikat pada tempat sama antara 11 Jun 2016 hingga 20 Disember 2017.

Dalam pada itu bagi empat lagi pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM4,180,396.59 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam dua akaun simpanan bank milik tertuduh di Bank Islam Malaysia Berhad, Cawangan Taman Melawati dan Malayan Banking Berhad, Cawangan Taman Setiawangsa di sini antara 10 Disember 2016 hingga 9 Mac 2018.

Bagi kesemua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal manakala tertuduh diwakili peguam Harjinder Singh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Tarikh dan 22 April ini ditetapkan bagi sebutan semula kes. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI