ONDON – Chelsea memastikan tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan pendahulu La Liga, Atletico Madrid menerusi kemenangan agregat 3-0.
Pada aksi timbal balik pusingan 16 pasukan terbaik yang berlangsung di Stamford Bridge awal pagi semalam, The Blues mencatat kemenangan 2-0 menerusi jaringan Hakim Ziyech dan Emerson Palmieri.
Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel mengakui gembira dengan aksi
yang ditampilkan barisan pemainnya pada perlawanan, sekali gus mara ke suku akhir buat kali pertama sejak 2014.
“Prestasi yang sangat bagus dan saya fikir kami layak untuk menang dan mara ke peringkat seterusnya. Semua pemain sudah berikan segala-galanya pada perlawanan ini.
“Saya juga gembira untuk lihat benteng pertahanan bertahan dengan sangat baik. Kami sentiasa menyesuaikan diri dengan setiap sistem pasukan lawan,” kata Tuchel.
Sementara itu, beliau memuji peranan yang dimainkan pemain terbaik perlawanan, N’Golo Kante apabila sentiasa bekerja keras memenangi bola daripada pasukan lawan.
“Apabila anda bermain dengan N’Golo (Kante), beban akan berkurang kerana dia menggalas tanggungjawab besar. Saya gembira untuk memiliki Kante dalam pasukan,” ujarnya. – AGENSI