MESKIPUN ramai peminat kumpulan K-pop fenomena, BTS kecewa atas kekalahan pada Grammy Award baru-baru ini, namun bintang Korea Selatan itu sentiasa berfikiran positif.
Memetik laporan Allkpop, usai acara berakhirnya anugerah berprestij tersebut, kesemua tujuh anggota kumpulan BTS muncul dalam platform VLive untuk berkomunikasi dengan peminat setia mereka yang digelar Army.
Biarpun kecundang, BTS menyatakan mereka sangat berbesar hati kerana diberikan peluang untuk mengadakan persembahan secara solo di pentas muzik berprestij dunia.
“Banyak laporan media mengatakan BTS gagal memenangi trofi, namun kami tidak melihat itu sebagai satu kekalahan. Buktinya, kami dapat membuat persembahan sebagai antara calon yang bertanding,” kata BTS dalam VLive.
BTS tewas kepada Lady Gaga dan Ariana Grande menerusi lagu Rain On Me dalam kategori Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik.
Menerusi Grammy Awards ke-63, BTS tercalon dalam kategori berkenaan menerusi single Inggeris pertama mereka, Dynamite.
Sebaik Anugerah Grammy tamat bersiaran, kekalahan BTS menjadi trending dalam Twitter apabila Army mendakwa Grammy hanya mempergunakan kumpulan itu untuk mendapatkan rating yang tinggi daripada penonton, memandangkan BTS mempunyai ramai peminat dari seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat