KOTA BHARU – Seramai 11 orang kakitangan kesihatan yang positif Covid-19 di Kelantan sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, mereka telah ditempatkan di beberapa hospital secara berperingkat sejak awal tahun ini.
“Mereka kini bertambah baik dan berada dalam keadaan stabil.
“Setakat ini, Jabatan Kesihatan Kelantan belum menerima kes baharu yang melibatkan kakitangan kesihatan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini semalam.
Sementara itu, beliau meminta orang ramai yang telah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera supaya memastikan mereka menghadiri janji temu mengikut tarikh yang ditetapkan.
“Jika boleh, jangan tolak suntikan selepas nama telah disenaraikan. Mereka mesti mengikut arahan mengikut jadual diberikan kerana kami tidak mahu membuang dos.
“Mereka tidak perlu bimbang tentang kesan sampingan. Setakat ini, kami tidak menerima aduan mengenai kesan sampingan yang serius daripada mereka yang mengambil vaksinasi,” katanya.-K!ONLINE