Oleh ROSALWANI CHE SOH
JELI – Taktik dua lelaki yang menyembunyikan 900 kilogram daun ketum pada bahagian dinding belakang lori yang telah diubah suai terbongkar apabila polis curiga melihat kenderaan yang dinaiki mereka itu bergerak tanpa sebarang muatan di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Batu 6, Batu Melintang di sini kelmarin.
Kedua-dua lelaki berusia 20 dan 30 tahun itu seolah-olah tidak pernah serik apabila mereka sebelum pernah ditahan polis di Gerik, Perak pada 20 Januari lalu berhubung kes penyeludupan daun ketum.
Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli, Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, kedua-dua suspek ditahan pada pukul 1.45 pagi sewaktu anggota polis menjalankan Ops Benteng di SJR tersebut.
Katanya, polis menahan sebuah lori seberat lima dari arah Gerik ke Jeli dan pemandunya mempunyai surat kebenaran merentas negeri bagi perkhidmatan keperluan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Katanya, pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek tidak menemui sebarang perkara yang mencurigakan, namun polis mengesan ruang belakang lori berkenaan yang telah diubah suai.
“Melalui pemeriksaan di bahagian belakang, polis mendapati tiada muatan, namun ada dinding papan lapis yang dipercayai diubah suai.
“Pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan di bahagian dalam papan lapis itu telah membawa kepada penemuan daun-daun ketum seberat 900 kilogram yang disusun di bahagian dinding kabin lori itu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Jeli di sini hari ini.
Menurut Nik Ahmad Kamil, taktik menyembunyikan ketum dengan kaedah itu pertama kali dikesan berlaku di negeri ini.
Katanya, siasatan lanjut mendapati, daun-daun ketum bernilai RM9,000 itu diambil dari Sik, Kedah untuk dipasarkan di sekitar Kelantan dan negara jiran.
Ujarnya, hasil soal siasat, mereka mengaku mengambil upah sebanyak RM500 untuk setiap satu penghantaran daun-daun ketum ke negeri ini.
“Selain daun ketum, polis turut merampas lori itu yang didaftarkan untuk perkhidmatan logistik.
“Siasatan lanjut juga mendapati kedua-dua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes dadah,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek itu direman selama empat hari bermula kelmarin lalu sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE