fbpx

Sindiket penipuan penjualan sarung tangan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seramai 10 individu ditahan selepas disyaki terlibat dengan kes penipuan penjualan pelitup muka dan sarung tangan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Negeri Sembilan, Johor dan ibu negara pada Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan akan menarik minat pembeli dengan menawarkan harga yang murah.

“Sindiket berkenaan akan memperdaya mangsa dengan menggunakan nama syarikat pengeluar sarung tangan terkemuka di negara ini bagi menarik minat pembeli dari dalam dan luar negera.

“Ahli sindiket tersebut kemudiannya akan memberi pelbagai alasan sehingga syarikat pembeli perlu melakukan pembayaran keseluruhan bernilai jutaan ringgit sebelum menghilangkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kesemua tangkapan terdiri daripada lelaki warga tempatan (8) dan dua wanita termasuk seorang warga Mongolia. Polis turut merampas 12 telefon bimbit, kad pengeluaran wang automatik (ATM), dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kereta pelbagai jenama (3) dan wang tunai berjumlah RM6,106.

Mengulas lanjut, sehingga Ahad lalu, sebanyak 98 kes penipuan penjualan sarung tangan telah dilaporkan dan telah disiasat JSJK melibatkan kerugian berjumlah RM 120,799,941.

“Polis juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran jualan barangan murah sehingga dapat dipastikan kesahihannya. Orang ramai juga harus sentiasa membuat semakan ketulenan transaksi dan memastikan urusan dijalankan menerusi kaedah yang diperakui.

“Semakan pengesahan akaun dan talian telefon bimbit juga boleh dibuat menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti akaun tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan atau tidak,” jelasnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI