SEBERANG PERAI – Kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) Jawi di Nibong Tebal di sini kini menjangkau 500 orang pesakit atau separuh daripada jumlah maksimum yang dibenarkan iaitu 1,000 orang pada satu-satu masa.
Sekretariat PKRC, Kapten (Pertahanan Awam) Sehgar Chaliyah berkata, jumlah warga asing yang ditempatkan di sini pula adalah tiga kali ganda daripada warga tempatan dan mereka juga ditempatkan secara berasingan mengikut tahap jangkitan masing-masing setakat ini.
“Dari segi kemudahan, kami sememangnya sedang berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pesakit yang ditempatkan di sini.
“Begitu juga dengan soal keselamatan dan dalam hal ini, kami bekerjasama dengan pelbagai agensi lain termasuk APM (Angkatan Pertahanan Awam), Jabatan Kesihatan negeri, Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia), polis dan sebagainya untuk tujuan itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd. Yazid yang mengadakan lawatan rasmi.
Mastura bagaimanapun tidak dapat bertemu dengan pemberita atas alasan terpaksa bergegas ke lokasi lain selepas kunjungan berkenaan.
Sementara itu, Sehgar berkata, PKRC itu akan terus dibuka sehingga pihaknya menerima arahan supaya operasi di situ dihentikan dan pusat tersebut ditutup daripada menerima kemasukan pesakit atau individu yang dijangkiti Covid-19. – K! ONLINE