fbpx

Pristine Offshore jadi organisasi komersial didakwa rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Kamal mewakili syarikat yang menjadi organisasi komersial pertama didakwa berhubung rasuah. - FOTO ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Sebuah syarikat penyewaan kapal menjadi organisasi komersial pertama di negara ini didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini berhubung rasuah RM321,350 memberi suapan untuk mendapatkan kontrak penyewaan kapal, tahun lalu.

Tertuduh, Pristine Offshore Sdn. Bhd yang diwakili pengarah baharunya, Datuk Abdul Kamal Mohd. Mydeen, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Rozilah Salleh.

Abdul Kamal baharu memegang jawatan tersebut pada Disember tahun lalu.

Untuk rekod, Seksyen 17A akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Pindaan 2018) memperuntukkan organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terlibat dengan jenayah rasuah.

Seksyen 17A akta tersebut dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu telah melakukan kesalahan kerana seseorang yang bersekutu iaitu seorang pengarah kamu, Chew Ben Ben, 64, telah secara rasuah memberikan kepada seorang Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat untuk suapan faedah dirinya sejumlah RM321, 350.

Suapan itu untuk memperoleh perniagaan bagi syarikat tersebut iaitu memastikan dianugerahkan subkontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.

Perbuatan itu dilakukan di Bandar Kinrara, Puchong di antara 29 Jun dan Oktober 2020.

Justeru, kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 17A (1) (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 17A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1juta mengikut mana lebih tinggi atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan RM200,000 dengan penjamin daripada pegawai atau pengarah syarikat tersebut.

Syarikat tersebut yang diwakili tiga peguam iaitu Bernard francis, Chong ki keong dan Azim Razak tidak membantah tawaran wang jaminan tersebut dengan Abdul Kamal akan menjadi penjaminnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan dan tarikh sebutan kes ditetapkan 25 Mei depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI