DODOMA – Presiden Tanzania, John Magufuli meninggal dunia pada usia 61 tahun di sebuah hospital di Dar es Salaam akibat komplikasi jantung , lapor agensi berita AFP, hari ini.
Timbalan Presiden, Samia Suluhu Hassan yang akan menjadi pemimpin wanita pertama negara mengumumkan kematian pemimpin itu semalam.
Beliau berkata, mendiang mengalami degupan jantung tidak normal dan telah lama dirawat di hospital tersebut.
Bendera negara itu dikibar separuh tiang ketika negara itu memulakan tempoh berkabung selama 14 hari.
Pengumuman itu dibuat selepas penafian kerajaan berhubung khabar angin yang mengatakan pemimpin itu tidak muncul di khalayak ramai hampir tiga minggu kerana mendapatkan rawatan Covid-19 di luar negara.
Sebelum ini, ahli politik pembangkang mendakwa mendiang dijangkiti Covid-19 tetapi berita itu tidak disahkan.
Beberapa orang ditahan minggu ini kerana menyebarkan khabar angin berhubung keadaan kesihatannya di media sosial. – Agensi