fbpx

Peruntukan RM21 juta untuk Program Agro-YES

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ronald ketika berucap pada Majlis Pelancaran Agro-YES di Dewan Serbaguna MAFI di sini, hari ini./ FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan RM21 juta bagi pembiayaan khas Agropreneur Muda sebagai produk Agro-Youth Entrepreneur Scheme (Agro-YES).

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, semua agropreneur muda yang telah menjalankan projek pertanian dan beroperasi lebih 12 bulan layak memohon untuk mendapatkan pembiayaan sehingga RM500,000.

Katanya, setiap permohonan melalui Agrobank dikenakan kadar faedah yang sangat minimum iaitu sebanyak dua peratus setahun.

“Saya telah minta Ketua Setiausaha MAFI dan Agrobank untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi membolehkan nilai pembiayaan ini ditingkatkan sehingga RM500,000 bagi setiap permohonan.

“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira keperluan modal permulaan yang tinggi bagi memulakan projek pertanian dengan penggunaan teknologi moden dan aplikasi Internet of Things (IoT),” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Agro-YES di Wisma Tani hari ini.

Ronald berkata, sebelum ini program Agro-YES yang dikenali sebagai Program Agropreneur Muda berjaya meningkatkan penglibatan golongan muda sepanjang tahun lalu dengan 1,159 penyertaan berbanding 764 pada tahun sebelumnya.

“Seramai 1,159 orang telah mendapat bantuan geran dan pembiayaan berjumlah RM23 juta pada tahun lalu.

“Jumlah ini meningkat berbanding hanya 764 orang pada 2019 dengan pembiayaan berjumlah RM13.7 juta dan 811 orang pada tahun 2018 dengan pembiayaan berjumlah RM14.1 juta,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 6,969 orang agropreneur muda telah mendapat faedah melalui bantuan geran dan pembiayaan berjumlah RM126 juta.

Katanya, peka dengan keadaan tersebut, MAFI telah mengambil langkah yang proaktif untuk menjenamakan semula Pembiayaan Khas Agropreneur Muda sebagai Agro-YES.

Menurutnya, antara penambahbaikan yang dibuat adalah dengan mengurangkan birokrasi dalam rantaian permohonan dan pengurangan tempoh masa pemprosesan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI