SEREMBAN – Seorang penolong jurutera didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan sebanyak RM1,200 bagi projek pembinaan bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan tiga tahun lalu.
Tertuduh Mohd. Nor Afendi Abd. Wahab, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah
Mengikut pertuduhan Mohd. Nor Afendi yang didakwa menerima rasuah wang tunai berjumlah RM1,500 daripada seorang pengarah syarikat pembinaan secara pindahan wang melalui mesin deposit tunai ke akaun tertuduh.
Wang tunai tersebut didakwa sebagai dorongan untuk melancarkan proses berkaitan kebenaran untuk pihak syarikat pembinaan terbabit memulakan kerja membina dan menyiapkan di tapak projek bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama di USIM Nilai, Negeri Sembilan.
Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank, Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan pada pukul 10 malam, 13 Jun 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Zainab Yahaya memohon jaminan sebanyak RM6,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan paling minimum atas alasan merupakan penanggung tunggal keluarga dan isterinya mempunyai masalah sakit sakit jantung serta anak masih kecil.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di SPRM berdekatan pada setiap awal bulan. – K! ONLINE