PETALING JAYA – Masih belum berkesudahan isu nyanyian terkucil, penyanyi Nabila Razali menegaskan keputusannya untuk menyampaikan lagu Peluang Kedua di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada Ahad lalu adalah atas kehendaknya sendiri.
Ujar Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 29, keputusannya untuk membuat persembahan pada malam tersebut tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Berada di atas pentas pada malam tersebut adalah keputusan saya sendiri.
“Itu pilihan sendiri dan saya menikmati keseronokan tersebut setiap saat. Tidak pernah menyesal,” tulis Nabila dalam InstaStorynya hari ini.
Dalam perkongsian sama, pelantun lagu Pematah Hati itu juga berharap semua pihak tidak menyalahkan syarikat pengurusannya, Nabila Razali Entertainment berkaitan isu yang menjadi perhatian ramai tersebut.
“Tolong jangan salahkan syarikat rakaman saya kerana mereka sudah bekerja keras untuk merealisasikan impian saya,” tegasnya.
Pada pentas AJL35 yang berlangsung Ahad lalu, nama Nabila meledak dalam media sosial selepas persembahannya tercalar kerana suaranya terkucil ketika menyampaikan lagu Peluang Kedua ciptaan Hael Husaini dan MFMF. – K! ONLINE