fbpx

Megan si pemuja Beyonce

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEGAN THEE STALLION

PENYANYI rap wanita ini berasal dari Houston, Texas, sebuah bandar raya yang mempunyai jumlah populasi keempat terbesar di Amerika Syarikat (AS) selepas New York, Los Angeles dan Chicago.

Menurut satu kajian yang tersiar dalam laman web BestLifeOnline.com, Texas menjadi negeri kedua paling dibenci di AS. Namun kini, seorang penduduknya berdiri sebagai antara penyanyi rap paling disayangi dan terkenal di dunia, Megan Thee Stallion.

Megan atau nama lengkapnya, Megan Jovon Ruth Pete, 26, baru-baru ini mencipta fenomena tersendiri di persada muzik global apabila merangkul tiga trofi Grammy Awards awal minggu lalu iaitu Artis Baharu Terbaik, Lagu Rap Terbaik dan Persembahan Rap Terbaik menerusi single hitnya, Savage.

Siapa sebenarnya Megan yang popularitinya menyergah secara tiba-tiba?

NAMA Megan mula dikenali secara global apabila muncul dengan versi remix lagu Savage yang menampilkan Beyonce.

Tahun lalu, dua single nyanyiannya iaitu Savage (featuring Beyonce) dan WAP (bersama Cardi B) berjaya meroket di tangga pertama carta lagu Billboard Hot 100. Satu pencapaian luar biasa untuk seorang artis yang baru menapak di Hollywood.

Dia mula mencuri tumpuan ramai apabila banyak video menyaksikan dirinya melakukan freestyling (improvisasi nyanyian secara spontan) menjadi popular dalam platform-platform media sosial seperti Instagram.

Megan kemudian menandatangani kontrak sebagai artis rakaman bawah syarikat 300 Entertainment dan meluncurkan mixtape secara ‘indie’ berjudul Fever pada 2019 dan album EP (Extended Play) Suga setahun kemudian. Dari situlah namanya berjaya menduduki carta 10 teratas carta album AS, Billboard 200.

Dia kemudian melancarkan album studio penuh debut berjudul Good News yang berjaya meroket di tangga kedua Billboard 200.

Menerusi album tersebut, Megan mengambil inisiatif menzahirkan versi remix Savage dengan seorang penghibur paling berpengaruh dunia, Beyonce.

SEJAK kecil, Megan sangat mengidolakan Beyonce yang disifatkan dirinya memiliki keperibadian yang baik dan bakat yang sukar ditandingi.

Beyonce

Menyanjung tinggi Beyonce, Megan dalam ucapan sewaktu dinobatkan pemenang Lagu Rap Terbaik berkata, sejak kecil, dia bercita-cita ingin berjaya seperti isteri kepada rapper, Jay Z itu.

“Saya mahu berterima kasih kepada Beyonce. Kalau anda kenal saya, anda perlu tahu yang sejak kecil, saya sudah pasang impian apabila besar nanti nak jadi Beyonce versi rap. Itu matlamat saya.

“Saya masih ingat sewaktu menyertai hari sukan, ketika itu buat kali pertama saya tengok Destiny’s Child buat persembahan, saya cakap pada diri yang saya akan buat betul-betul.

“Saya suka kerja kerasnya. Saya sangat mengagungkan keperibadiannya.

“Ibu selalu bertanya, apa yang Beyonce akan buat. Saya jawab, saya akan buat sebagaimana yang dilakukan Beyonce namun saya akan jadikannya sedikit nakal. Terima kasih, Beyonce,” katanya.
Ibu Megan, Holly Thomas juga seorang penyanyi rap yang kini berperanan sebagai pengurus kepada penyanyi yang kini merupakan pelajar tahun ketiga di Texas Southern Universtiy dalam bidang Pengurusan Kesihatan itu.

Menariknya, disebabkan tulisan lirik Megan yang bersifat ‘liar’ dan terlalu seksual, ibunya meletakkan syarat dia hanya boleh berkecimpung dalam dunia rap apabila sudah mencecah usia 21 tahun.

TAHUN lalu sahaja, Megan sudah mempunyai dua lagu yang sudah meroket di tangga pertama carta lagu popular, Billboard Hot 100 menerusi Savage dan WAP.

Palsukan tembakan?

Sekitar Julai tahun lalu, timbul kisah kurang enak apabila Megan didakwa memalsukan ‘naratif’ dirinya ditembak di bahagian kaki oleh bekas teman lelakinya, Tory Lanez.

Menurut laporan TMZ, kaki Megan sebenarnya tercedera bukan disebabkan terkena tembakan pistol Tory, sebaliknya terkena serpihan kaca.

Dalam satu siaran langsung menerusi Instagramnya, Megan menegaskan bahawa dia kedua-dua kakinya benar-benar ditembak menggunakan sepucuk pistol oleh bekas teman lelaki

“Saya tidak beritahu polis apa sebenarnya yang terjadi sejurus selepas ditembak kerana saya tidak mahu mati.

“Saya rasa sangat-sangat gila. Rasa macam, kenapa saya ditembak?” ujar Megan yang turut mendedahkan Lanez menawarkannya sejumlah wang yang besar supaya isu tersebut tidak diperbesarkan.

Selepas drama bersulamkan penafian yang panjang, pada 8 Oktober tahun lalu, Lanez ditahan oleh pihak polis atas jenayah tersebut, namun siasatan kes masih berjalan sehingga kini.

Dalam satu temu bual bersama New York Times, Megan mendedahkan: “Wanita kulit hitam masih tidak dihormati dan dilayan dengan tidak adil dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Baru-baru ini, saya menjadi mangsa tindakan bersifat keganasan daripada seorang lelaki. Selepas sebuah acara parti, saya ditembak sebanyak dua kali ketika sedang cuba untuk melarikan diri daripadanya.

“Saya tidak mahu mengaku pernah ada hubungan dengannya. Apa yang penting, saya sangat terkejut dan episod itu sudah berakhir.”

TIDAK hanya hebat dalam bidang muzik, Megan juga bijak dalam bidang akademik. Dia merupakan pelajar tahun tiga dalam bidang Pengurusan Kesihatan di salah sebuah universiti di Texas, Amerika Syarikat.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI