JOHOR BAHRU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas 40 palet makanan haiwan seberat 24 tan ketika menjalankan pemeriksaan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini malam kelmarin.
Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, rampasan dibuat hasil pemeriksan dijalankan anggotanya ke atas sebuah lori di laluan kenderaan import KSAB kira-kira pukul 9 malam.
Katanya, pihaknya mendapati palet makanan haiwan tersebut tidak mematuhi syarat di dalam permit import.
“Makanan haiwan yang dianggarkan bernilai RM15,680 berupa campuran hampas soya, serbuk susu dan lemak minyak tersebut yang cuba dibawa masuk dari Singapura ke dalam negara ini untuk diproses semula sebelum dipasarkan.
“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat-syarat di dalam permit import Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) akta yang sama,” katanya.
Jelasnya, pihaknya merakam keterangan pemandu lori berusia 47 tahun bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan.
Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.-K! ONLINE