PETALING JAYA – Seorang anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya maut dalam kemalangan di Kilometer 13.6, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, mangsa yang berpangkat koperal berusia 56 tahun menunggang motosikal seorang diri dari arah Ampang menghala ke Batu Caves.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun melanggar motosikal mangsa dari arah belakang.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa dan motosikal terseret sejauh 100 meter. Pemandu kereta kemudiannya meninggalkan lokasi sebaik kemalangan berlaku.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menahan suspek di hadapan sebuah premis di Taman Puncak Jalil.
“Polis menyita kereta yang dipandu semasa kejadian. Suspek akan dibawa ke Hospital Selayang untuk pengambilan sampel air kencing serta darah.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang esok bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya.
Semakan mendapati suspek memiliki rekod jenayah. Kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K!ONLINE.