PUTRAJAYA – Jumlah kehadiran ke majlis akad nikah di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB) adalah tidak melebihi 50 orang.
Itu ketetapan baharu diputuskan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkuat kuasa hari ini.
Sebelum ini, Jawi menetapkan kehadiran bagi majlis akad nikah di masjid adalah tidak melebihi 30 orang.
Jawi dalam satu kenyataan berkata, ketetapan baharu itu membabitkan kehadiran pengantin lelaki, pengantin perempuan, jurunikah, wali, dua orang saksi dan seorang jurugambar.
“Selain itu, kehadiran bagi akad nikah di pejabat Jawi kekal sama iaitu tidak melebihi 30 orang,” katanya hari ini.
Katanya, jumlah kehadiran itu juga tertakluk kepada keluasan tempat berkenaan dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.
Bagi kehadiran ke majlis akad nikah di premis seperti hotel, dewan dan butik pengantin pula, ia hendaklah tidak melebihi 50 peratus keluasan kapasiti premis dengan mematuhi penjarakan fizikal 1.5 meter.
Jelasnya lagi, Jawi juga tidak membenarkan berjabat tangan antara jurunikah dengan pengantin lelaki serta antara semua pihak yang terlibat dalam majlis akad nikah. – K! ONLINE