TOKYO – Legenda bola sepak wanita Jepun, Nahomi Kawasumi menolak tawaran daripada penganjur temasya Sukan Olimpik 2020 yang mahu kelibatnya hadir pada majlis larian obor yang akan berlangsung pada 25 Mac depan kerana masih risau dengan pandemik Covid-19.
Sebagai rekod, Kawasumi yang telah membantu skuad wanita negara Matahari Terbit itu menjuarai Piala Dunia pada edisi 2011 kini berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dengan mewakili pasukan Sky Blue FC di Liga Wanita AS.
Kata Kawasumi, beberapa faktor penting telah menyebabkan dirinya terpaksa menarik diri daripada upacara bersejarah itu seperti enggan dijangkiti wabak Covid-19 atau menjadi ancaman dengan menjangkiti orang lain sewaktu pulang ke Jepun.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, keputusan untuk menolak tawaran daripada pihak penganjur untuk menjadi salah seorang atlet yang akan membawa obor Olimpik pada penghujung bulan nanti adalah kekal.
“Saya sangat berduka cita dengan keputusan ini tetapi saya harap rakyat Jepun faham bahawa saya tidak boleh membuat tindakan yang akan mementingkan diri sedangkan ancaman Covid-19 masih belum reda khususnya di AS,” kata pemain berusia 37 tahun itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penganjur Sukan Olimpik 2020, Toshiro Muto mengesahkan rakyat Jepun dibenarkan untuk hadir pada majlis larian obor itu nanti tetapi diwajibkan mengamalkan penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka.
“Majlis larian obor Olimpik akan dilakukan buat pertama kali pada 25 Mac ini dan peminat dibenarkan untuk melihat di tepi jalan. Namun, mereka perlu memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi seperti penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” katanya. – AGENSI