fbpx

Jumlah syarikat muflis dijangka menurun 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (tiga dari kanan) melancarkan Chatbot KPDNHEP pada Majlis Sambutan 365 hari Menteri dan Timbalan Menteri Menerajui KPDNHEP di kementeriannya di sini, hari ini. /FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan bilangan syarikat muflis tahun ini berkurangan susulan ketetapan baharu nilai ambang keberhutangan diumumkan kerajaan kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman polisi baharu itu sekaligus mengelak lebih banyak syarikat diletakkan di bawah status muflis.

Beliau berkata, sebelum ini, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sudah melaksanakan nilai ambang semasa keberhutangan sehingga RM50,000 ini secara sementara bermula Mac hingga Disember tahun lalu.

“Pelaksanaan nilai ambang keberhutangan dari RM10,000 kepada RM50,000 ini diperkenalkan SSM tahun lalu susulan pandemik Covid-19.

“Malah, sepanjang tempoh pelaksanaan sementara itu, jumlah syarikat yang berstatus muflis menurun kepada 1,596 buah syarikat berbanding 3,022 syarikat pada 2018 dan 3,545 syarikat pada 2019,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Strategik KPDNHEP 2021-2025, Pelan Strategik ICT 2021-2025 dan Chatbot sempena Setahun Malaysia Prihatin.

Alexander berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan permohonan kementerian untuk menaikkan nilai ambang berkenaan.

“Dengan cara ini, lebih ramai syarikat dapat diselamatkan daripada status muflis,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mengumumkan satu lagi pakej rangsangan ekonomi dikenali sebagai Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi membantu rakyat mendepani cabaran pandemik Covid-19.

Antara inisiatif yang diumumkan termasuk menaikkan nilai ambang keberhutangan kepada RM50,000 dari RM10,000 sebelum ini.

Sementara itu, Alexander berkata, Pelan Strategik KPDNHEP 2021-2025 adalah pelan perancangan lima tahun yang menjadi tunjang bagi memaju hala tuju kementerian bagi mencapai misi dan visi ditetapkan.

“Ia mengandungi lima teras strategik, 17 strategi, 39 inisiatif dan 115 pelan tindakan untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pelan ini diharap dapat membantu kerajaan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara khususnya dalam sektor perdagangan domestik,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI