PETALING JAYA – Seorang pelajar tingkatan enam mendakwa terlepas untuk menduduki satu kertas peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada Isnin lalu selepas terlibat dalam kemalangan akibat terlanggar lubang di Kilometer 8, Jalan Lipis-Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang.
Mangsa, Nurul Izzah Kamarudin, 20, berkata, kejadian pada pukul 7.23 pagi itu berlaku ketika dia sedang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Lipis untuk mengambil peperiksaan kertas Ekonomi Ulangan 2.
“Pada pagi hari kejadian, saya menunggang motosikal dan menggunakan laluan tersebut untuk ke sekolah sebelum ternampak pasir di permukaan jalan, namun saya tetap melaluinya.
“Rupa-rupanya, pasir itu sebenarnya menutup lubang yang sangat dalam. Saya kemudian terjatuh selepas gagal mengelak lubang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Insiden menimpa mangsa itu dimuat naik di akaun Twitternya kelmarin dan ciapan Nurul Izzah telah dikongsi lebih 3,900 kali oleh netizen.
Nurul Izzah memberitahu, akibat kemalangan itu, dia yang tidak sedarkan diri telah dibawa oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan.
Katanya, dia mula sedar kira-kira pukul 10 pagi setelah berada di hospital berkenaan.
“Saya menerima beberapa jahitan pada bahagian atas bibir, dagu dan pinggang selain luka di kedua-dua tangan serta lutut,” ujarnya.
Nurul Izzah berkata, dia tidak sempat menduduki peperiksaan kertas tersebut kerana sewaktu ia berlangsung, doktor masih lagi merawatnya.
Dia mendakwa, lokasi kemalangan tersebut sering dijadikan tempat meletakkan kenderaan berat terutama lori sehingga menyebabkan jalan tersebut rosak serta berlubang-lubang.
“Saya harap pihak berkuasa segera membaiki jalan-jalan yang berlubang kerana ia boleh mendatangkan kecederaan parah, malah menyebabkan kematian,” ujarnya.