fbpx

‘Inspektor Firdaus’ ugut, tipu bini banduan diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anbalagan (kiri) pada sidang akhbar di IPD Barat Daya di Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Taktik licik satu sindiket pemerasan dan penipuan yang didalangi seorang lelaki bergelar ‘Inspektor Firdaus’ selepas menjadikan waris banduan atau isteri Orang Kena Tahan (OKT) sebagai mangsa akhirnya terjerat apabila diberkas polis minggu lalu.

Suspek utama berusia 43 tahun itu ditahan bersama lapan konco termasuk teman wanitanya dalam enam serbuan berasingan di Perak dan Selangor pada 12 hingga 14 Mac lalu.

Penahanan suspek berusia 14 hingga 60 tahun itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa wanita berusia 52 tahun pada 10 Mac lalu.

Menurutnya, pengadu memaklumkan yang dia telah didatangi dua penjawat awam dengan menaiki kenderaan polis ke rumahnya di Bayan Lepas pada 23 Februari lalu bagi memaklumkan tentang panggilan daripada seorang pegawai bergelar ‘Inspektor Firdaus’.

“Pengadu kemudiannya menghubungi semula pegawai itu dan bertanyakan tentang suaminya yang kini ditahan di Lokap Berpusat Bayan Baru atas kesalahan dadah pada Februari lalu.

“Suspek bagaimanapun telah meminta pengadu memasukkan RM200,000 bagi membebaskan OKT tanpa dikenakan tindakan undang-undang dan pengadu setuju untuk membayarnya.

“Sebaik pengadu memasukkan RM80,000 melalui dua nombor akaun yang diberi suspek termasuk RM20,000 sehari kemudian, lelaki itu terus gagal dihubungi,” katanya pada sidang akhbar di IPD BD sini hari ini.

Anbalagan memberitahu, soal siasat ke atas suspek pertama mengaku terlibat dalam kejadian tersebut manakala suspek lain adalah peminjam akaun yang menerima upah RM3,000 hingga RM10,000.

Katanya, dia yang mempunyai 33 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah, dadah dan komersil juga mengaku terlibat dengan beberapa kes sama melibatkan Kontinjen Pulau Pinang, Melaka dan Sabah dipercayai sejak tahun 2016.

Berhubung modus operandi sindiket, beliau berkata, suspek terbabit bertindak menghubungi mana-mana penjara di negara ini untuk mendapatkan maklumat diri serta nombor telefon waris banduan atau Orang Kena Tahan (OKT) sebagai peminjam akaun.

“Suspek sangat licik dengan menggunakan beberapa taktik penipuan dan penyamaran termasuk akan melayari internet khususnya portal berita online yang memaparkan tangkapan kejayaan kes jenayah atau narkotik terkini,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI