fbpx

Inilah Pahang bantu lonjak semula sektor pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan) melancarkan tema baharu pelancongan negeri Kuantan hari ini.

KUANTAN – Penjenamaan semula tema Tourism Malaysia Pahang adalah antara usaha progresif dan dinamik kerajaan negeri merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19 sejak tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemilihan tema ‘Inilah Pahang’ atau ‘This is Pahang’ bagi menggantikan ‘Pahang Simply Awesome’ yang digunakan sejak tahun 2019 juga dilihat sebagai aspirasi baharu kepada pemain industri pelancongan untuk bangkit semula.

“Memang sejak wabak Covid-19 melanda dunia tahun lalu, sektor ini (pelancongan) antara yang paling terkesan dan kita sebagai kerajaan bertanggungjawab perlu melihat kepada kaedah atau pendekatan baharu bagi membantu operator pelancongan yang kehilangan atau terjejas sumber pendapatan mereka.

“Kejatuhan drastik sektor pelancongan ini bukan sahaja berlaku di Pahang atau di Malaysia, bahkan turut memberi kesan kepada industri pelancongan seluruh dunia.

“Pengenalan tema baharu ‘Inilah Pahang’ adalah satu permulaan dan seterusnya banyak lagi promosi yang lebih rancak akan dilakukan dari semasa ke semasa selepas rantaian Covid-19 berjaya diputuskan sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Tema Baharu Pelancongan Negeri Pahang di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Wan Rosdy berkata, banyak produk pelancongan di Pahang yang masih belum diteroka oleh pelancong dari dalam dan luar negeri.

Justeru beliau berharap melalui pelancaran tema baharu ini dapat mendedahkan orang ramai mengenai kepelbagaian pilihan disediakan untuk mereka di Pahang.

“Pemilihan tema ‘Inilah Pahang’ bertepatan dengan kekayaan khazanah dimiliki negeri ini, kita ada kawasan tanah tinggi, panorama pantai yang menarik dan kepelbagaian budaya,” katanya.

Sementara itu katanya, pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) oleh kerajaan Persekutuan diyakini dapat merancakkan semula segmen pelancongan domestik dan seterusnya merancakkan semula sektor pelancongan, terutamanya di Pahang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI