fbpx

Felda tawar 4,500 jawatan kosong di 10 wilayah seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMIR Hamdan Yusof (lima, dari kanan) menyerahkan surat tawaran bekerja kepada pemohon pada Program Penjana@Felda Dewan Feldajaya di Feldajaya Selatan, Felda Raja Alias, Bandar Seri Jempol, Jempol, hari ini.

JEMPOL – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menawarkan 4,500 jawatan kosong dalam sektor perladangan termasuk 896 jawatan Briged Operasi Ladang di 10 daripada 11 Wilayah Felda yang ada.

Timbalan Pengarah Besar (Operasi) Felda, Datuk Amir Hamdan Yusof berkata, jawatan tersebut ditawarkan menerusi program Penjana@Felda dengan program perintisnya telah bermula di Feldajaya Selatan Raja Alias dekat sini.

“Bagi fasa permulaan, program Penjana@Felda yang berlangsung hari ini membuka ruang temu duga bagi beberapa jawatan termasuk Briged Operasi Ladang dengan 896 kekosongan yang ditawarkan daripada keseluruhan 4,500 yang ditawarkan di lokasi-lokasi lain. Kami berharap kekosongan jawatan yang ada sekali gus dapat memberi jaminan masa depan bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik kepada generasi baharu Felda.

“Jawatan yang ditawarkan bukannya sebagai buruh namun sebagai Briged Operasi Ladang. Mereka ini akan diberikan gaji dan elaun sebanyak RM1,500 sebulan serta pelbagai kemudahan termasuk pakaian, rumah dan memastikan mereka menjalankan operasi dengan kualiti terbaik dan diberikan kursus secara profesional dalam sektor perladangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Penjana@Felda di Feldajaya Selatan, Felda Raja Alias, Bandar Seri Jempol hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Eksekutif Bahagian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), John Riba Anak Marin dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir.

Program tersebut julung kali diadakan dengan melibatkan tiga agensi iaitu Felda, Perkeso dan AKPK. Ia berlangsung selama dua hari dan membuka ruang temu duga bagi beberapa jawatan termasuk Briged Operasi Ladang.

Seramai 340 individu hadir pada sesi temuduga yang bermula semalam dan 316 calon telah berjaya ditawarkan pekerjaan di Feldajaya Selatan, Felda Raja Alias, Bandar Seri Jempol.

Sementara itu, tambah Amir Hamdan, pelbagai insentif menarik disediakan bagi menarik minat golongan generasi baharu Felda untuk terlibat dalam industri perladangan.

“Faedah istimewa seperti pendahuluan pembelian motosikal bernilai RM1,000, elaun persediaan kerja antara RM500 hingga RM1,000, elaun motosikal sebanyak RM100, elaun perumahan sebanyak RM100, insentif kehadiran berjumlah RM100 dan elaun produktiviti sebanyak RM100 ditawarkan kepada semua calon yang berjaya dalam temu duga ini.

“Usaha sama antara kesemua agensi ini adalah bersandarkan aspirasi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti bagi meningkatkan taraf sosioekonomi warga Felda di samping mewujudkan komuniti yang celik kewangan dalam menyokong pembangunan komuniti mapan dan sejahtera,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI