LONDON – Penduduk Farlkirk di Scotland dilanda ketakutan selepas seorang individu misteri memakai sut perlindungan diri doktor abad ke-17 yang menyeramkan dilihat di bandar itu, lapor akhbar The Sun semalam.
Individu itu dirakam memakai sut tersebut termasuk topeng berparuh, topi hitam besar dan jubah diperbuat daripada kulit. Seragam itu dipakai doktor-doktor kononnya bagi melindungi diri mereka ketika penularan wabak hawar bubonik sekitar tahun 1665 di Eropah.
Penduduk tempatan mengaku sudah beberapa kali ternampak kelibat individu dengan pakaian itu terutama di kawasan-kawasan gelap.
Setakat ini, belum ada mana-mana pihak tampil mengaku melakukan ‘prank’ atau gurauan tersebut yang sama sekali tidak dianggap lucu oleh penduduk setempat.
“Ini sangat menakutkan dan tidak patut dijadikan gurauan,” komen seorang pengguna media sosial.
“Adakah ini keadaan dunia yang sedang kita diami sekarang,” tulis seorang lagi.
Bagaimanapun, polis Scotland belum menerima sebarang aduan rasmi daripada penduduk berhubung perkara tersebut. – Agensi