KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan berpangkat ‘Datuk Seri’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan dan memperdaya seorang individu berjumlah RM176,000 bagi membantu melepaskan 22 warga China tahun lalu.
Tertuduh, Mohammed Al Faizal Mohammed, 45, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh telah secara rasuah didakwa menerima suapan berjumlah RM176,000 daripada Lim Seng Chye, 41, sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 warganegara China dari tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang di sini pukul 11 malam pada 22 September 2020 yang mana kedua-dua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan pilihan pertama dan kedua tertuduh didakwa dengan curangnya memperdaya mangsa sama dengan mempercayai boleh membebaskan 22 warga China itu sehingga mangsa menyerahkan wang tunai jumlah sama yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.
Kedua-dua kesalahan bagi pertuduhan pilihan itu didakwa dilakukan pada tempat, waktu dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang wanita yang juga rakan kepada Mohammed Al Faizal, turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan berhubung perkara sama.
Mariam Beevi M.Sultan Alaudin, 41, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas keempat-empat pertuduhan menerima suapan dan memperdaya Seng Chye berjumlah RM33,000 atas dorongan sama iaitu melepaskan 22 warga China tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 8.17 dan pukul 8.18 malam di sebuah bank di Jalan Tun Perak di sini pada 6 November 2020 yang didakwa mengikut akta dan seksyen sama.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohammed Al-Faizal diikat jamin RM50,000 manakala Mariam Beevi diikat jamin RM17,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.
Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab. Tertuduh Mohammed Al-Faizal diwakili peguam Manjet Singh, manakala Mariam Beevi diwakili peguam Parvinder Singh Doal.
Tarikh 21 April ini ditetapkan sebutan semula kes.
Minggu lalu Kosmo! Online melaporkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri direman bagi membantu siasatan berhubung rasuah bagi membantu melepaskan 22 warga China di depoh Imigresen, tahun lalu.
Turut direman dalam hari sama seorang wanita yang bertugas sebagai ‘runner’ kepada Datuk Seri tersebut.
Ahli perniagaan berasal dari Selangor itu dipercayai membeli gelaran tersebut daripada sebuah negeri demi kepentingan perniagaannya. – K! ONLINE