JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan cubaan untuk menyeludup keluar 2,000 ekor burung murai yang dianggarkan bernilai RM105,000 termasuk duti di Sungai Chokoh, Kukup, Pontian di sini semalam.
Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai membuat rampasan burung yang diletakkan di dalam bakul itu pada pukul 7 malam.
Katanya, dalam operasi itu, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 30 hingga 36 tahun.
“Dengan penahanan dan rampasan itu, anggota penguat kuasa berjaya mematahkan cubaan untuk menyeludup keluar burung ke negara jiran melalui laluan laut.
“Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna mendapati jumlah burung murai yang cuba diseludup keluar sebanyak 2,000 ekor bernilai RM105,000 termasuk duti.
“Burung murai atau magpie adalah dagangan yang tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dagangan itu memerlukan permit Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia sekiranya ingin dieksport keluar negara.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. -K! ONLINE