WOLVERHAMPTON – Pengurus Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo mengesahkan bahawa penjaga golnya, Rui Patricio tidak mengalami kecederaan serius biarpun terpaksa diusung keluar ketika mereka tewas 0-1 kepada Liverpool awal pagi semalam.
Dalam perlawanan berkenaan, Patricio terlibat dalam insiden pelanggaran bersama rakan sepasukan Conor Coady menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala dan terpaksa dikeluarkan.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut yang dilakukan oleh pasukan perubatan mendapati Patricio hanya mengalami sedikit gegaran tanpa kecederaan serius yang lain.
“Kami baharu mendapatkan perkembangan daripada pasukan perubatan dan Patricio berada dalam keadaan baik.
“Ada sedikit gegaran tetapi dia masih mengingati apa yang berlaku.
“Kami sudah bercakap dengannya dan dia mengakui tidak berdepan masalah yang serius. Apabila insiden sebegitu berlaku, sudah tentu ia menimbulkan kebimbangan, namun perkhabaran itu membuatkan kami lega.
Insiden itu berlaku ketika Mohamad Salah berjaya mendapat umpanan dan memasuki kotak penalti sebelum Coady cuba menyekat kemaraan pemain itu.
Salah cuba melepasi kawalan Patricio, namun Coady yang dalam keadaan laju terlanggar Patricio menyebabkan kecederaan itu berlaku.
Pengadil terpaksa menghentikan perlawanan selama lapan minit untuk memberi ruang Patricio dirawat sebelum digantikan oleh John Ruddy. – AGENSI